BH Online


Peneraju SOHO

Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my
2012/03/19

Strategi Wawasanita bantu usahawan wanita perluas pasaran produk

LEBIH satu dekad membantu usahawan wanita di negara ini, Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (Wawasanita), sentiasa gigih dan terus bertekad membangun serta mengembangkan lagi golongan wanita dalam bidang keusahawanan.

Terkini, seiring dengan pelancaran penjenamaan baru, logo dan laman sesawang www.wawasanita.org. Wawasanita berwajah baru dengan melakukan transformasi menyeluruh, termasuk inisiatif menjadi peneraju keusahawanan pejabat kecil, rumah kecil atau SOHO (Small Office, Home Office) bagi golongan usahawan wanita di Malaysia dan berhasrat memasarkan produk usahawan di bawah kendaliannya di kompleks beli-belah tempatan, Kuala Lumpur Sogo (KL Sogo).

Presidennya, Noor Hayati Ab Rahman berkata, memenuhi matlamat ke arah itu Wawasanita akan menjalinkan hubungan dan kerjasama dengan rakan strategik dan juga dari sektor swasta.

Noor Hayati berkata, program memasarkan produk usahawan di pusat beli belah di KL Sogo dikenali, ‘dari SOHO ke Sogo’ adalah satu usaha dijalankan dengan kerjasama Shamshul Smart Ventures bagi memperkasakan konsep keusahawanan SOHO itu.

Noor Hayati berkata, program perintis ini dilaksanakan bagi membantu produk usahawan Wawasanita ke pasaran yang lebih luas. Kerjasama akan dijalankan dengan KL Sogo supaya produk dihasilkan oleh usahawan terbabit diberi peluang untuk dipromosi dan dipasarkan pusat beli belah itu.

“Buat masa ini, kami dalam proses memastikan usahawan dapat menjana kapasiti yang diperlukan untuk memenuhi kehendak pasar raya ini,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan rakan strategik di ibu negara, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPN), Wan Hasmah Wan Mohd.

Noor Hayati berkata, usaha ke arah itu akan dipastikan terlaksana dalam tempoh tiga bulan lagi. Buat masa ini, beberapa bincang lanjut akan dibuat bagi memastikan strategi dan perancangan direncanakan tercapai dan mencapai matlamat utamanya.

“Buat permulaan, setiap produk akan ditempatkan dalam tempoh masa yang diberikan dan sekiranya produk berkenaan mendapat sambutan baik di kalangan pelanggan, maka ia akan diberikan ruang khas dengan kadar bayaran minimum. Antara produk sasaran yang akan dipasarkan di pusat beli belah berkenaan ialah makanan dan koleksi pakaian dan ia dijangka dimulakan menjelang Ramadan nanti.” jelasnya.

Noorhayati berkata, selain Sogo, pihaknya turut mengintai peluang memasarkan produk di beberapa lokasi lain antaranya rangkaian kedai Mesra Petronas, Tesco, Jusco dan Carrefour dalam tempoh enam bulan akan datang.

Tambahnya, melalui program Dari SOHO ke Sogo itu, semua ahli berdaftar dengan Wawasanita berpeluang menempatkan produk mereka di Sogo dan ia dilakukan secara bergilir.

Katanya, program itu juga akan memastikan peserta akan memulakan cara yang betul dan mampu berdaya saing dengan perusahaan lebih besar. Justeru, persatuan meletakkan sasaran untuk melatih lebih 120 usahawan di bawah program selama setahun itu yang mana dana diperoleh daripada JPN.

“Peserta terpilih akan melalui satu program keusahawanan yang holistik dan pembelajaran berstruktur selama setahun. Program ini akan memberi fenomena dan perspektif baru bagi membentuk minda usahawan yang positif lagi efektif. Melalui program ini, ahli Wawasanita juga akan dilatih mempelajari modul perniagaan serta teknik pemasaran yang betul bagi mendidik mereka memikat pelanggan dan menempatkan produk di lokasi yang tepat,” katanya.

Noor Hayati memberitahu, bagi usahawan yang mahu menjalankan perniagaan dari rumah, mereka boleh mengambil bahagian dalam Soho Wellness Hub, sebuah perniagaan kecantikan dan kesihatan, hasil daripada perkongsian persatuan dengan Agel Malaysia dan Zazen Health Solutions.

Sementara itu, wakil Shamshul Smart Ventures, Shamshul Bahril, berkata program pembangunan usahawan diketengahkan itu akan memberi peluang dan manfaat kepada ahli Wawasanita yang ingin meningkatkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Kami menyedari kebanyakan usahawan berkenaan memerlukan pengetahuan untuk mempromosi dan memasarkan produk mereka sebab itulah jalinan kerjasama seperti itu perlu diadakan bagi membantu serta membimbing mereka. Bagaimanapun, setiap usahawan yang terbabit perlulah mempunyai sikap yang betul bagi memastikan program dilaksanakan benar-benar berkesan,” katanya.

Wawasanita ditubuhkan pada 13 Februari 1996 dengan keahlian hanya 150 orang dan kini persatuan ini meningkat kepada lebih 1,000 ahli. Keahlian bermula dari 18 tahun ke atas terdiri daripada golongan wanita yang menceburi dalam bidang keusahawanan.